01 February 2012

KetentuanNYA

Bukan mudah menjadi guru. Nampak mudah namun berisiko tinggi. Jika tersilap langkah, berbagai-bagai perkara bakal terjadi.

Semalam, seorang rakan aku terlibat dalam satu insiden tragedi murid di panah petir ketika melakukan aktiviti di sekolah. Sudah 2 hari Bandar Diraja Kuala Kangsar dilanda ribut petir pada sebelah petang.

Sememangnya sudah ketentuanNYA, kita merancang dan DIA menentukan segalanya. Di khabarkan rakan aku itu mengadakan latihan memanah untuk murid-muridnya. Malang tidak berbau, khabarnya setelah tamat latihan mereka telah dipanah petir. Seramai 4 orang murid dan seorang guru terbabit dimana seorang daripada murid tersebut terbunuh.

Takziah buat warga SK Raja Perempuan Muzwin atas musibah yang melanda ini. Takziah juga untuk keluarga mangsa. Al-Fatihah buat allahyarham murid yang meninggal dunia itu.

Buat rakan-rakan pendidik, semoga anda semua bijak mengendalikan situasi sebegini. Malang mungkin tidak berbau, namun kita mampu mencegahnya.

Berikut adalah petikan berita....
--------------------
KUALA KANGSAR – Seorang pelajar maut manakala empat lagi termasuk seorang guru cedera dalam tragedi panahan petir di Padang Sekolah Kebangsaan (SK) Mazuin di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, mangsa yang terkorban, Muhammad Syafiq Mohd Tajul Ariffin, 11, bersama tiga rakan dan seorang guru baru sahaja selesai menjalani latihan memanah.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superitendan Abdul Gaffar Mohammad berkata, mangsa mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Menurutnya, tiga lagi rakan mangsa berusia 10 hingga 12 tahun dan seorang guru dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Difahamkan ketika kejadian cuaca hujan dan mangsa bersama rakan-rakan masih lagi berada di padang selepas selesai menjalani latihan.

"Mayat mangsa yang berasal dari Kampung Pakri dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat dan kematian disebabkan oleh 'lightning injury'.

"Siasatan lanjut berhubung kes ini masih lagi dijalankan," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian.

#sumber : Sinar Harian

0 Komen:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...